Jadilah penulis yang diam ubi tetapi berisi

 


Dalam era media sosial yang sarat dengan mengagungkan kejayaan, paparan gaya hidup hedonistik dan lapar perhatian, kita sering terlupa bahawa tentang nilai-nilai murni seperti sifat rendah hati, bekerja keras, menjaga maruah dan membina jati diri secara senyap. 

Dalam hal ini, banyak yang kita boleh belajar daripada sifat ubi. Tanaman ini tidak dapat dilihat tumbesarannya kerana ubi terbenam di dalam tanah.

Kita hanya dapat melihat ubi yang berisi setelah hasilnya dituai dari tanah apabila cukup masanya. Besar atau kecil ubi bergantung kepada faktor kesuburan tanah dan bagaimana kita membaca serta membelainya. 

Menghayati falsafah diam ubi berisi bukan bermaksud kita pendamkan sahaja bakat yang dianugerahkan Allah SWT.

Seperti ubi, tonjolkan bakat apabila tiba masanya agar dapat dikongsi bersama dengan mahkluk-makhluk Allah yang lain.

Contohnya, kita berbakat dalam bidang penulisan. Sebelum mula menulis untuk khalayak, kita seharusnya 'bertapa' dahulu dengan mengasah bakat serta memperbaiki tulisan dari semasa ke semasa.

Penulis mesti banyak membaca supaya karya yang dihasilkan sarat dengan isi yang bermanfaat untuk para pembaca.

Namun, dalam era ledakan media sosial, kita dapat melihat kemunculan penulis-penulis jadian yang memaparkan hasil yang cacamerba demi mengejar 'likes' dan 'follows'.

Jumlah penulis tong kosong ini memang ramai dan melebihi penulis diam ubi sehingga menimbulkan tafsiran salah kononnya khalayak lebih cenderung membaca penulisan mereka yang tular.

Memang memualkan apabila membaca penulisan tong kosong yang tidak membawa sebarang manfaat pun kepada masyarakat.

Sehubungan itu, kita mesti menyokong penulis-penulis diam ubi dengan menularkan tulisan mereka di alam siber.  

Langkah itu biarpun nampak kecil pasti akan menyuburkan penulisan berkualiti dalam ruang media sosial sekali gus membantu membentuk pemikiran masyarakat madani yang berpemikiran kritis dan bertamadun tinggi.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kawan toksik senyum di depan, tikam di belakang

Akhirnya bonda tertawa

Apa yang kita patut tahu mengenai titah adendum