Berhentilah merokok sebelum terlambat

 

Tabiat merokok merupakan amalan yang telah lama sebati dalam kalangan sebahagian daripada kita. Walaupun mereka tahu kesan buruknya, masih ramai yang degil tidak mahu berhenti merokok.

Ramai individu menganggap bahawa merokok hanyalah sekadar hobi atau cara untuk menghilangkan tekanan sementara tanpa menyedari kerosakan jangka panjang yang sedang berlaku di dalam tubuh mereka.

Setiap sedutan asap rokok membawa ribuan bahan kimia berbahaya ke dalam paru-paru dan seterusnya ke seluruh sistem aliran darah

Risiko utama yang sering dikaitkan dengan tabiat buruk ini adalah penyakit kanser terutamanya kanser paru-paru. Selain itu jantung juga terpaksa bekerja lebih keras kerana saluran darah menjadi sempit dan tersumbat akibat mendapan bahan kimia daripada rokok. 

Keadaan ini meningkatkan risiko serangan jantung dan strok yang boleh meragut nyawa secara tiba-tiba. Bukan itu sahaja merokok juga menjejaskan kualiti hidup harian seperti sesak nafas mudah letih dan kerosakan pada kulit serta gigi.

Kesan merokok bukan sekadar terhadap perokok sahaja. Orang lain yang menghidu asap rokok turut terdedah kepada bahaya yang sama malah kadangkala kesannya lebih teruk terutamanya bagi kanak-kanak dan warga emas. 

Ini bermakna kedegilan untuk terus merokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga menggadaikan kesihatan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Langkah untuk berhenti merokok sememangnya mencabar kerana kesukaran untuk membuang ketagihan nikotin. Walau bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. 

Kesedaran awal adalah kunci utama sebelum badan mengalami kerosakan kekal yang tidak boleh dipulihkan lagi. 

Apabila seseorang berhenti merokok badan akan mula pulih sendiri dalam tempoh beberapa jam sahaja dan risiko penyakit kronik akan menurun secara berperingkat mengikut peredaran masa.

Jangan tunggu sehingga doktor memberita khabar buruk atau sehingga badan sudah tidak mampu lagi berfungsi dengan baik. 

Hargai nyawa dan kesihatan yang dikurniakan Allah SWT kerana ia adalah aset yang paling berharga. 

Berhentilah merokok hari ini demi kesejahteraan diri sendiri dan mereka yang anda sayangi sebelum terlambat.

BACA LAGI




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kawan toksik senyum di depan, tikam di belakang

Akhirnya bonda tertawa

Apa yang kita patut tahu mengenai titah adendum