Pempengaruh vs pakar: Siapakah yang lebih dipercayai?
Pada masa ini, ramai dalam kalangan masyarakat yang lebih mempercayai pempengaruh yang bercakap dengan yakin di depan kamera berbanding seorang pakar yang mahir dan berpengetahuan dalam bidangnya. Kita sedang menyaksikan satu fenomena yang luar biasa iaitu kebangkitan pengaruh individu biasa yang mampu membentuk pandangan awam, kadangkala lebih berkesan daripada profesor, doktor atau pemimpin. Pempengaruh bukan lagi sekadar selebriti media sosial yang mempromosi produk kecantikan atau gaya hidup. Mereka kini bercakap tentang kesihatan, politik, kewangan, pendidikan dan agama. Ada yang menyampaikan maklumat berguna, namun tidak kurang juga yang menyebarkan maklumat salah, kurang tepat atau sangat berat sebelah tanpa tapisan dan semakan fakta. Mengapa semakin ramai percaya pada pempengaruh dan bukannya pakar? Pertama, penyampaian mereka lebih mudah difahami. Bahasa yang digunakan mesra, ringkas dan santai. Tambahan pula, mereka sentiasa ada di telefon pintar kit...