Rukun Negara bukan sekadar lafaz ikrar
Oleh: Anuar Shaari
Rukun Negara adalah kerangka nilai kebangsaan yang lahir dari pengalaman sejarah tentang rapuhnya perpaduan. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, negara diisytihar darurat. Parlimen digantung dan ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Justeru, usaha pemulihan perpaduan digerakkan melalui Majlis Perundingan Negara serta penubuhan Jawatankuasa Rukun Negara. Pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara diisytiharkan dengan lima cita-cita besar dan lima prinsip sebagai asas kehidupan bernegara.
Realiti hari ini, cabaran perpaduan memenuhi ruang kehidupan kita. Ruang digital, di sekolah, di tempat kerja, dan dalam cara kita mentafsir ‘hak’ serta ‘tanggungjawab’.
Kementerian Perpaduan Negara melalui Dasar Perpaduan Negara menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah tunjang kepada teras dan strategi perpaduan. Ini termasuk meningkatkan literasi dan penghayatan sebagai asas amalan hidup.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 pula mengingatkan bahawa pendidikan sivik adalah wahana memupuk nilai teras Rukun Negara. Sistem ini boleh diperkukuh supaya murid bukan sekadar ‘tahu dan setuju’ tentang Rukun Negara, tetapi mampu mengamalkannya dalam kehidupan harian.
Mutakhir ini, ketika perhimpunan di sekolah-sekolah, anak-anak kita membaca Rukun Negara dengan suara serentak. Ada ketika bila melafazkannya bersama anak-anak, saya betul-betul rasa “bersatu”.
Pada ketika yang lain pula, ia terasa seperti rutin. Mengimbau kembali kenangan ketika bersekolah, kesimpulan saya amatlah mudah. Di dalam negara majmuk, perpaduan bukan sesuatu yang terjadi sendiri. Ia terbina atas kesatuan yang kukuh serta perlu dipelihara melalui nilai bersama yang jelas.
Semangat Rukun Negara bukanlah slogan yang memaksa kita menjadi serupa. Ia lebih dekat kepada disiplin warganegara, berbeza tanpa menghina, menyuarakan pandangan tanpa memalukan, dan mempertahankan undang-undang tanpa memilih bulu.
Prinsip-prinsip ini terasa dekat kerana ia menyentuh perkara harian yang sangat dekat dengan kita iaitu cara kita bergaul, bekerja, berdebat, dan membina kepercayaan.
Latar Sejarah dan Konteks
Sejarah mencatatkan Peristiwa 13 Mei 1969 membawa kepada darurat dan penggantungan Parlimen. Sejurus selepas itu, pentadbiran negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak.
Dalam proses pemulihan, Majlis Perundingan Negara bermesyuarat pada Januari dan Mac 1970 dan akhirnya persetujuan dicapai untuk menubuhkan Jawatankuasa Rukun Negara.
Rukun Negara kemudian diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh DYMM SPB Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, YDP Agong ketika itu. Dokumen perisytiharan tersebut menggariskan cita-cita negara (perpaduan, demokrasi, keadilan, keterbukaan budaya, progresif berasaskan sains dan teknologi) dan menyenaraikan lima prinsip sebagai pegangan rakyat untuk mencapainya.
Seiring perkembangan semasa, Skim Rukun Tetangga pula dilancarkan pada tahun 1975. Bermula tahun 2001, Kelab Rukun Negara mula ditubuhkan di sekolah-sekolah di dalam negara. Tahun 2008, Sekretariat Rukun Negara ditubuhkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Manakala pada tahun 2021, Dasar Perpaduan Negara dipersetujui oleh Jemaah Menteri dengan penegasan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah tunjang perpaduan negara Malaysia.
Aspirasi dan Cabaran
Perisytiharan Rukun Negara menyatakan lima cita-cita bagi mencapai perpaduan yang lebih erat. Ia adalah memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat adil, menjamin sikap liberal terhadap kepelbagaian tradisi budaya.
Selain itu, ia turut membina masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden. Lima cita-cita ini adalah “destinasi” manakala lima prinsip pula adalah “jalan” yang memandu tindakan kita di ruang awam dan keputusan dalam kehidupan seharian.
1. Kepercayaan kepada Tuhan.
Malaysia diasas serta terbina atas kepercayaan kepada Tuhan (tentunya Allah bagi penganut majoriti agama rasmi negara). Namun pada masa yang sama agama-agama lain selain Islam boleh diamalkan dengan aman selagi menepati undang-undang negara.
Aspirasi utamanya adlah moral awam yang memuliakan insan. Ia boleh diterjemah sebagai budaya integriti (nilai-nilai murni seperti menolak rasuah dan penipuan) serta budaya ihsan (membantu tanpa memilih).
Cabarannya muncul apabila agama dipolitikkan sehingga menebalkan stereotaip dan menutup ruang dialog yang sepatutnya meredakan salah faham.
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Malaysia adalah negara Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Kesetiaan penuh itu berperlembagaan dan bukannya ketaatan membuta tuli.
Ia adalah kesetiaan yang menjaga kerangka bersama, iaitu menghormati institusi, menolak keganasan, dan memilih saluran sah apabila tidak bersetuju. Secara praktiknya, kita perlu menyemak maklumat sebelum berkongsi fitnah tentang negara atau institusi.
Cabaran besarnya adalah disinformasi (maklumat palsu) yang membuat masyarakat hilang kepercayaan kepada institusi, lalu mudah berpecah kepada “kumpulan-kumpulan” yang saling mencurigai.
Pembentukan kerangka fikiran sinisme (tidak mempercayai) yang skeptikal melampau juga merupakan cabaran membentuk kesetiaan.
3. Keluhuran Perlembagaan.
Perlembagaan memberi hak serta meletakkan kewajipan setiap warganegara wajib menghormati kandungan, maksud dan latar sejarahnya. Dasar Perpaduan Negara juga menegaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai tunjang strategi yang perlu dihayati dan diamalkan sebagai asas dasar.
Aspirasi prinsip ini adalah kewarganegaraan yang matang. Kita mempertahankan hak tanpa menafikan hak orang lain dan kita mengkritik dasar tanpa meruntuhkan aturan bernegara.
Cabaran lazim hari ini adalah wacana tular yang memetik separuh fakta, lalu mencetus kemarahan tanpa kefahaman menyeluruh. Ia diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang sering menyemai nilai-nilai negatif dalam kehidupan harian.
Rukun Negara menyatakan keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang. Kebebasan asasi terjamin tetapi tertakluk kepada sekatan undang-undang manakala kedaulatan undang-undang dijamin oleh badan kehakiman yang bebas.
Dalam era media sosial, prinsip ini mengingatkan kita bahawa emosi tidak boleh menggantikan bukti.
Aspirasi utamanya adalah keselamatan dan keadilan yang boleh dipercayai sehingga rakyat memilih proses yang wajar dan bukan “pengadilan segera” yang berisiko menzalimi.
Cabarannya adalah ketidaksabaran terhadap proses, dan kecenderungan membina “naratif salah atau benar” hanya berdasarkan apa yang viral serta manipulasi fakta.
Prinsip ini menolak perbuatan angkuh atau menyinggung perasaan golongan lain. Ia juga menegah kita bersangka buruk terhadap orang lain hanya berdasarkan andaian.
Ia menuntut kesusilaan tinggi dalam kehidupan awam. Prinsip ini paling cepat mengubah suasana kerana adab dan susila ibarat “minyak pelincir” kehidupan majmuk.
Contoh kontemporari adalah etika digital. Pahlawan papan kekunci (keyboard warriors) seringkali gagal menahan diri daripada menulis nilai negatif di media sosial.
Dalam kehidupan seharian juga, kita gagal menolak bahasa-bahasa kesat, cacian yang melibatkan agama dan perkauman. Hanya segelintir sahaja daripada kita yang berani meminta maaf apabila tersilap.
Cabarannya adalah normalisasi budaya menghina yang mungkin “lucu” seketika, tetapi memberi impak negatif terhadap kepercayaan sosial dalam jangka panjang.
Inisiatif Komuniti
Rukun Negara ‘hidup’ apabila ada ruang latihan sosial iaitu tempat orang berjumpa dan bekerjasama, bukan sekadar berkongsi pendapat.
Realiti hari ini terdapat tanda-tanda penghayatan Rukun Negara semakin berkurangan dalam kalangan pelajar, tempat yang sepatutnya wadah permulaaan bagi menyemai nilai positif Rukun Negara.
Maka itu, sekolah-sekolah diminta menubuhkan Kelab atau Persatuan Rukun Negara mulai 2001. Ia dilaksana dengan kerjasama agensi perpaduan dan sektor Rukun Tetangga bagi aktiviti integrasi dan penghayatan prinsip.
Ini jelas menunjukkan nilai nasionalisme perlu diwujudkan dengan pembelajaran melalui pengalaman iaitu bergaul, bekerjasama dan berkhidmat, bukan hanya diajar di dalam bilik darjah.
Sekretariat Rukun Negara ditubuhkan di institusi pengajian tinggi awam pada 2008 adalah kesinambungan benih perpaduan yang telah disemai di peringkat sekolah. Fungsinya penting kerana kampus adalah ruang latihan demokrasi kecil. Siswa dan siswi belajar memimpin, berunding, dan menghormati perbezaan semasa di alam universiti.
Seterusnya, Skim Rukun Tetangga dilancarkan pada 29 Ogos 1975 dan berkembang mengikut perubahan sosioekonomi. Akta Rukun Tetangga 2012 menetapkan fungsi jawatankuasa kawasan termasuk aktiviti untuk meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselamatan, kebajikan dan kualiti hidup.
Ini adalah contoh perpaduan yang “berpijak di bumi nyata”. Nilainya diterjemah menjadi aktiviti kejiranan yang mengurangkan jurang sosial dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Pengukuhan
- Literasi perlembagaan dan sejarah perlu dibuat secara lebih praktikal. Kurikulum Standard (DKSP) menyatakan peristiwa-peristiwa sejarah adalah dikaitkan dengan Rukun Negara. Matlamatnya untuk memupuk semangat perpaduan, kesedaran kebangsaan dan cintakan negara. Strategi ini perlu pelaksanaan yang lebih jitu. Dasar Perpaduan Negara pula menggariskan strategi meningkatkan literasi, pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Ini dijadikan sebagai asas, termasuk pengukuhan pemahaman Sejarah Malaysia. Ini juga boleh diterjemah sebagai latihan situasi iaitu menilai berita palsu, membezakan kritikan dasar daripada serangan identiti dan melatih penyelesaian konflik kecil secara beradab.
- Pendidikan sivik mesti bergerak daripada “setuju” kepada “buat”. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia mengakui pendidikan sivik memupuk nilai Rukun Negara. Namun menegaskan keperluan menggalakkan murid mempraktikkan kepercayaan itu dalam kehidupan harian. Maka, projek komuniti berstruktur (service learning) wajar diperluas, bukan hanya sebagai acara tahunan, tetapi sebagai budaya sekolah dan kampus.
- Pendekatan sekolah dan komuniti perlu diperkemas. Pekeliling penubuhan Kelab Rukun Negara sudah menggesa kerjasama sekolah dengan agensi perpaduan dan sektor Rukun Tetangga. Jaringan setempat yang konsisten (kelab sekolah, mahasiswa bersama komuniti) antara faktor nilai Rukun Negara dapat berkembang antara generasi dan merentas latar.
- Keempat, agenda adab digital wajar dijadikan fokus. Ia berkait rapat ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ iaitu menolak tindakan menyinggung golongan lain dan serta cacian atau makian. Ini boleh diterjemahkan kepada tiga tabiat mudah iait semak sebelum kongsi, berhujah tanpa memalukan, dan berhenti apabila perbualan bertukar menjadi hinaan.
Penutup
Kita semua perlu optimis bahawa Rukun Negara bukanlah dokumen ‘masa lalu’ dan tidak lagi relevan. Ia adalah perjanjian moral yang kita perbaharui setiap hari. Rukun Negara berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Kita semua adalah ejen pelaksanaan bagi menjayakannya.
Untuk mengamalkannya secara mudah, pilih satu prinsip untuk dibuat saban setiap minggu. Kita mulakan dengan menahan diri daripada menyebar fitnah, menyertai khidmat komuniti, atau belajar semula asas perlembagaan.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Praktikkannya sehingga kita sedar bahawa Rukun Negara bukan untuk sekadar dilafazkan, ia adalah untuk kita amalkan.
Anuar Shaari ialah Pengarah Urusan Forum Strategik Massa. Beliau pernah bertugas di agensi Kerajaan Persekutuan dan beberapa organisasi media pusat dan negeri.

Ulasan
Catat Ulasan