Kedatangan Adat Perpatih ke Negeri Sembilan
(Pada pertengahan Kurun Masehi XIV 1352?)
Baginda Raja Hindi untuk mencari keselamatan umum dan menjauhkan persengketaan kedua abang iparnya itu supaya negeri aman dan tenteram maka baginda pun bertitah," Eloklah kekanda kedua berpisah membuka negeri masing-masing di mana-mana teluk rantau yang masih belum terbuka lagi." Maka sembah Perpatih dan Temenggung," Beta minta buatkan kenderaan bahtera sebuah seorang untuk pelayaran." Baginda Raja Hindi pun menitahkan rakyat jelata membuat dua buah bahtera di Bukit Siguntang. Setelah siap bahtera itu maka Raja Hindi pun bertitah lagi kepada rakyatnya supaya menyaksikan perlancaran bahtera itu untuk mengucapkan selamat berlayar kepada keduanya.
Akan bahtera Temenggung beserta pengikutnya telah dilancarkan dengan senangnya dan berlayar ke laut untuk membuka negeri di mana-mana sahaja yang disukainya dan beritanya kemudia tiadalah disebutkan dalam buku ini. Tetapi dengan bersusah payah bahtera Perpatih tidak dapat dilancarkan hingga beribu-ribu orang pengikut yang menolaknya tidak sedikit pun bergerak walau jarak sejari daripada tempatnya itu. Segala pengikut-pengikut Perpatih itu terdiri daripada beberapa buah negeri iaitu negeri Tiga Batu, Sri Melenggang, Sri Lemak (Minangkabau) Mungkal dan Tanah Datar. Tetapi hingga sampai petang bahtera Perpatih tidak juga berhasil dilancarkan. Perpatih pun baliklah ke rumahnya dengan dukacita kerana kebuntuan bahteranya tidak dapat berlayar pada hari itu.
Maka pada malamnya bermimpilah Perpatih mendengar suara berbunyi demikian, "Hai Perpatih, jika bahtera engkau ini hendak berlayar dengan sempurnanya, hendaklah digalangkan dengan seorang perempuan sulung dan bunting sulung pula, jika tidak dapat (disempurnakan kehendak itu) tidaklah berjaya pelayaran engkau." Pada esok harinya Perpatih menyembahkan segala isi mimpinya kepada Raja Hindi dan baginda menitahkan kepada rakyatnya supaya mencari perempuan sulung dan bunting sulung untuk menjadi penggalang pelancaran bahtera Perpatih itu. Tetapi dalam negeri Padang Luas itu tidak didapati yang demikian melainkan dua orang sahaja iaitu anak Perpatih sendiri dan anak adiknya Puteri Sri Banun.
Maka titah Raja Hindi kepada anak Perpatih supaya sanggup menjadi penggalang pelancaran bahtera ayahandanya itu, tetapi ia menjawab tiada mahu, kerana katanya mengikut undang-undang ayahnya, 'anak sendiri diberi majan, anak buah sorong ke balas.' Maka bertitah pula baginda kepada puterinya sendiri dan anakanda itu menjawab, "Anakanda sanggup mati asalkan dapat menebus maruah bapa saudara anakanda daripada malu dan untuk menghapuskan arang di mukanya." Bondanya Tuan Puteri Sri Banun tidak dapat menahan betapa hancur lebur hatinya seperti kaca terhempas ke batu, bila mendengar kata anaknya itu, tetapi walau bagaimana mengeluarkan air mata darah kesedihan sekalipun, sudah tentu titah raja tidak dapat dielakkan lagi.
Setelah mustaid sekaliannya saat ditunggu-tunggu untuk melancarkan bahteranya itu maka puteri Raja Hindi pun digalangkanlah di bawah bahtera itu siap lengkap dengan kain kafannya sekali.
Dengan takdir Allah Yang Maha Kuasa melakukan kudrat iradatnya ke atas hamba-Nya, maka bahtera Perpatih dengan isinya pun dilancarkan di atas penggalangan anak saudaranya anak Puteri Sri Banun bunting sulung itu, tetapi tidak ada apa-apa mara bahayanya kerana bahtera itu melompat dengan tidak mengenakan sedikit cedera jua pun. Sebaik-baik bahtera itu lepas dilancarkan, anak Puteri Sri Banun pun berputera seorang laki-laki dan berita ini disampaikan kepada pengetahuan Perpatih. Maka Perpatih menitahkan nama anak itu "Menggalang" kerana ia menjadi penggalang bahteranya.
Dalam pelayaran Perpatih itu ia telah singgah di beberapa tempat dengan meninggalkan beberapa orang ramainya untuk membuka negeri. Tempat-tempat yang dilaluinya itu ialah Siak, Muar, Bukit Kepong dan Johor. Laksamana dari negeri Tiga Batu ditinggalkannya di Johor dan ia mudik lagi ke Pasir Besar meninggalkan orang-orang di situ dan terus ke Ulu Muar. Dari sini baginda mudik dengan angkatannya melalui beberapa buah kampung dan daerah dan berhenti di satu tempat kerana menakuk (menyeluk) destarnya yang bernama Destar Batik Tajul Layang. Nama takuknya ialah 'Seluk Pelangi' sehingga sekarang dinamakan tempat itu Pelangai pula.
Meneruskan perjalanannya Perpatih sampai ke Kampung Tengah dan berhenti di atas sebuah bukit yang sekarang bernama Bukit Tempurang kerana anjingnya beranak. Setelah meninggalkan orang-orangnya dari negeri Mungkal, Tanah Datar dan Sri Lemak membuka negeri di situ ia pun pergi mencari air diikuti oleh pengiring-pengiringnya. Bila sampai di satu tempat pengiringnya telah berjumpa dengan serumpun padi tiga peringkatnya iaitu tinggi, sedang dan rendah. Maka disembahkan perjumpaan itu kepada Perpatih dan baginda menegaskan bahawa padi itu ialah 'Sri' yang telah menanti kita. Lama kelamaan timbullah nama tempat itu Sri Menanti sehingga sekarang ini. Padi yang tinggi itu bererti 'Raja', yang sedang bererti 'Undang' dan yang rendah 'Lembaga'.
Segala hutan rimba belantara, pokok kayu kayan yang besar-besar di sana sini, ditebas, ditebang untuk membuka kampung, sawah ladang, bagi kemajuan dan kemakmuran penduduk-penduduk isi negeri. Dalam sebuah kampung yang diteroka bernama Pilah menurut asal namanya ialah dari huruf 'paeelah' (pergilah'. Pada zaman itu tidak ada korek api dan orang-orang yang berjalan jauh tidak ada membawa bekal api, hanya memadai dengan membakar unggun yang besar-besar sahaja, Pada satu masa Perpatih hendak menggunakan api lalu bertitah pada orangnya, "Paeelah ambil api." Dengan ini timbullah nama tempat itu Pilah hingga melekat dan kekal sampai sekarang.
Dalam masa mereka meneroka ini juga ada satu kejadian yang ganjil. Mereka menebang pokok angga bisa sungguh sudah rebah ditebang pada hari itu tetapi pada esoknya telah berbalik tumbuh semula. Peristiwa ini sangat mendukacitakan orang-orang Perpatih langsung menyembahkan padanya. Perpatih menyuruh jemput Pawang negeri, dan dipendekkan kisah, setelah Pawang negeri menjalankan kerjanya mengikut tatatertib berpawang, maka barulah pokok angga bisa itu dapat disempurnakan menebangnya. Hingga sekarang kampung ini dinamakan 'Angga Bisa' di kawasan Ulu Pilah.
Ditulis semula dari Bab 2, buku Asal Usul Adat Perpateh, edisi pertama, 1962.
Dikarang dan disusun oleh Abu Chik Mat Sarom, Abu Hassan bin Ahmad dan Sulaiman bin Idris.

Ulasan
Catat Ulasan