Puak acah-acah elit jangan sombong hina B40
![]() |
Gambar hiasan: ChatGPT |
Golongan B40 merangkumi hampir separuh daripada rakyat Malaysia. Mereka bekerja keras sebagai pemandu bas, nelayan, pekerja kedai, pekerja kilang dan ribuan lagi bidang lain yang sering dipandang remeh tetapi penting.
Walaupun pendapatan yang diterima mereka kecil, jasa mereka besar kerana golongan tersebutlah yang menggerakkan sektor asas ekonomi negara.
Namun, kesombongan golongan acah-acah elit terhadap B40 yang banyak menerima bantuan kerajaan akhir-akhir ini semakin ketara.
Ramai yang bersikap biadab melemparkan kata-kata berunsur penghinaan hanya kerana melihat kehidupan golongan B40 tidak setaraf dengan mereka.
Seolah-olah menjadi miskin itu satu kesalahan, kononnya golongan B40 tidak berusaha untuk menambah baik taraf hidup kerana terlalu selesa dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan.
Walhal kebanyakan daripada mereka terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, gaji yang tidak sepadan, dan peluang kerja yang semakin terhad.
Kesombongan puak acah-acah elit
Kebelakangan ini, kita sering melihat keangkuhan segelintir pihak menghina B40 secara terbuka dalam media sosial.
Ada yang meremehkan mereka kerana membeli barangan murah di pasar malam, ada yang menyindir kerana tidak mampu melancong ke luar negara, malah ada juga yang menghina kerana menerima bantuan kerajaan.
Lebih parah, pernah tular seorang individu yang memperlekeh rakyat berpendapatan rendah kerana menaiki pengangkutan awam, kononnya ia menggambarkan kegagalan hidup.
Malah, ada yang mendakwa orang miskin tidak pandai mengurus kewangan kerana lebih banyak berbelanja untuk gajet dan kopi mahal.
Kemiskinan bukan lesen untuk mewajarkan penghinaan
Jurang kaya miskin di Malaysia memang nyata. Kos perumahan di bandar, harga makanan, dan beban hutang isi rumah menjadi cabaran besar bagi golongan B40.
Justeru, perbuatan kurang cerdik golongan acah-acah elit menghina golongan B40 hanya menambah luka dan mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam masyarakat.
Sebenarnya ramai dalam kalangan B40 bekerja lebih daripada satu kerja demi menyara keluarga.
Ada yang berniaga kecil-kecilan selepas waktu kerja pejabat, ada yang menjadi penghantar makanan selepas tamat syif kilang, hanya untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Ini adalah bukti bahawa mereka bukan malas, tetapi sedang berjuang dengan penuh maruah.
Golongan B40 bukan menagih simpati
Realitinya, golongan B40 tidak mahu simpati. Mereka mahu diberi peluang yang adil.
Apa yang diperlukan adalah dasar yang memberi ruang mobiliti sosial, bantuan pendidikan anak-anak, akses perumahan mampu milik, dan peluang untuk berniaga tanpa tekanan kos yang melampau.
Dengan peluang sebegini, mereka mampu bangkit untuk menambah baik taraf hidup dan turut menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
Buang jauh-jauh mentaliti suka mengecam
Perbuatan menghina B40 hanya menyerlahkan betapa kosongnya jiwa golongan acah-acah elit. Masyarakat yang beradab seharusnya membela, bukan menjatuhkan.
Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk menghina orang miskin. Sebaliknya, manfaatkan media sosial untuk menyuarakan sokongan dan memperjuangkan peluang yang lebih adil bagi golongan B40.
Kesombongan puak acah-acah elit adalah barah yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Hanya dengan empati, kesederhanaan, dan rasa hormat kita mampu membina Malaysia yang lebih prihatin terhadap golongan memerlukan.
Hentikan penghinaan terhadap B40
Buanglah jauh-jauh sikap bongkak merendah-rendahkan golongan miskin. Ingatlah bahawa kesombongan tidak membawa ke mana-mana.
Sebahagian daripada golongan B40 sebelum ini pernah berada dalam kategori M40 malah T20.
Namun disebabkan beberapa faktor seperti hilang pekerjaan, sakit kronik dan gagal dalam perniagaan, nasib tidak menyebelahi mereka.
Hidup ini umpama roda. Tidak selama-lamanya kita berada di atas. Tidak mustahil puak acah-acah elit yang menghina B40 hari ini akan berubah nasib menjadi B40 pada masa akan datang.
Ketika itu, barulah mereka insaf betapa pilu dan luluhnya hati apabila dihina oleh puak acah-acah elit yang perasan bagus dan kufur nikmat.
Ulasan
Catat Ulasan