Usah dengki kelebihan orang lain
Setiap manusia mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang cantik rupa paras, ada yang cemerlang dalam akademik, ada yang petah berkata-kata, dan ada juga yang dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.
Namun, tidak semua dalam kalangan kita dapat melihat kelebihan orang lain dengan hati yang tenang dan reda.
Perasaan dengki adalah penyakit hati yang halus. Namun jika dibiarkan, dengki boleh merosakkan diri sendiri lebih daripada orang yang didengki.
Dengki menyebabkan seseorang rasa 'panas' dengan kejayaan orang lain dan timbul keinginan untuk melihat orang itu jatuh atau gagal.
Bukan sekadar rasa tidak puas hati, dengki juga satu bentuk hasad yang boleh membawa kepada tindakan yang negatif dan kesan buruk.
Hakikatnya, setiap orang ada bahagian masing-masing. Kelebihan yang dimiliki seseorang bukan bermakna kekurangan bagi orang lain.
Kita mungkin tidak memiliki harta yang banyak, tetapi dikurniakan kesihatan yang baik. Kita mungkin tidak terkenal, tetapi memiliki keluarga yang bahagia. Allah SWT mengurniakan nikmat dengan cara-Nya yang adil.
Daripada terus membandingkan diri dan menyimpan iri hati, lebih baik kita menumpukan tenaga untuk memperbaiki diri. Jadikan kejayaan orang lain sebagai inspirasi, bukan sebagai sebab untuk menyimpan dendam atau kecewa.
Belajarlah untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki kerana ramai lagi yang mengimpikan kehidupan seperti kita.
Hidup ini bukan satu perlumbaan siapa lebih kaya, cantik, atau berjaya. Ia adalah perjalanan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dari semalam.
Jika kita sibuk memandang apa yang orang lain ada, kita akan lupa menghargai nikmat yang berada di depan mata.
Usah dengki kelebihan orang lain. Doakan mereka terus berjaya, dan percayalah, dengan hati yang bersih dan usaha yang jujur, rezeki kita juga akan datang pada waktunya.
Apa yang penting, kita kekal menjadi seorang insan yang baik dan berhati mulia serta sentiasa berlapang dada melihat kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia lain.
Ulasan
Catat Ulasan