Jangan pandang rendah pekerjaan orang lain

 


Ada dalam kalangan kita kurang rasa hormat terhadap pekerjaan orang lain. Sering kali kita terdengar atau membaca komen sinis yang memperlekeh pekerjaan tertentu. 

Contohnya, penghantar makanan, pekerja pembersihan atau tukang kebun hanya dianggap sebagai pekerjaan kelas rendah. Hakikatnya, semua pekerjaan ada peranan penting dalam membentuk keseimbangan dan kelancaran hidup dalam masyarakat.

Bayangkan satu hari tanpa pekerja kutipan sampah. Kota akan dipenuhi sisa. Atau sehari tanpa penghantar makanan, mungkin ada yang tak sempat makan tengah hari kerana sibuk bekerja. 

Begitu juga dengan juruteknik, penjaga tempat letak kereta, petugas kaunter, dan ramai lagi yang menjadi tulang belakang dalam kehidupan kita seharian.

Mereka bukannya tidak bercita-cita besar. Sebahagian daripada mereka memilih jalan itu kerana keadaan, tanggungjawab keluarga, atau minat terhadap kerja yang dilakukan. 

Mereka bekerja keras, jujur, dan mencari rezeki halal. Bukankah itu lebih mulia daripada yang hidup dengan menipu atau mengambil hak orang lain?

Memperlekeh pekerjaan orang lain bukan sahaja menunjukkan kekurangan empati, tetapi juga mencerminkan ego dan keangkuhan. 

Setiap pekerjaan, selagi halal dan dilakukan dengan jujur, adalah mulia dan menjadi lambang tanggungjawab dan kecekalan seseorang dalam menghadapi realiti kehidupan.

Kita sepatutnya menyokong, memberi semangat, dan menghargai usaha mereka yang mungkin tidak memakai tali leher atau duduk di pejabat berhawa dingin, tetapi menyumbang sama penting dalam sistem ekonomi dan sosial negara.

Masyarakat yang maju bukan hanya dinilai dari segi infrastruktur dan teknologi, tetapi juga pada sikap saling menghormati sesama manusia. 

Justeru, janganlah memandang rendah terhadappekerjaan orang lain. Hormatilah usaha mereka kerana mereka juga manusia yang sedang berjuang, sama seperti kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita patut tahu mengenai titah addendum

Komplot jahat pengganas komunis sabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu gagal

Haramkan jualan vape di Malaysia