Sampai bila nak guna alasan brek rosak?

 

Gambar: Bomba Perak


Setiap kali berlaku kemalangan maut melibatkan bas, timbul pelbagai cadangan daripada kerajaan kononnya sebagai langkah proaktif bagi mencegah insiden serupa berulang.

Contohnya, memasang alat membataskan kelajuan, meletakkan penguat kuasa JPJ yang menyamar sebagai orang awam di dalam bas serta menyenarai hitam pemandu dan syarikat bas terbabit.

Semua cadangan itu memang bagus sekiranya ia dilaksanakan secara serius dan konsisten.

Malangnya, apa yang sering kita lihat cadangan-cadangan itu sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Setelah tragedi kemalangan maut lama berlalu, keadaan kembali seperti biasa dan pemandu bas kembali ke perangai asal yang membahayakan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

Insiden terkini melibatkan bas yang dinaiki sekumpulan pelajar UPSI sehingga mengorbankan 15 nyawa yang masih muda boleh dicegah sekiranya pihak berkuasa benar-benar serius dalam menguatkuasakan undang-undang.

Lebih mengejutkan, pemandu terbabit mempunyai 18 saman yang belum dibayar dan 13 daripadanya adalah atas kesalahan memandu laju. 

Malah, bas yang dibawanya mempunyai 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Timbul persoalan, bagaimana pemandu itu masih dibenarkan membawa bas walaupun belum membayar saman? Begitu juga, mengapa bas itu masih dibenarkan beroperasi?

Walhal, pemandu kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal pasti berdepan kesukaran untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sekiranya mempunyai saman tertunggak.

Rakaman video yang tular menunjukkan bas terbabit dipandu dengan laju sebelum terbabas dan melanggar kereta Perodua Alza di depan sebelum bergesel dengan besi penghadang jalan.

Apakah pelekat had laju 90 km/jam di lebuh raya dan 80 km/jam di jalan raya yang dipaparkan di belakang bas hanya hiasan semata-mata?

Bukan rahsia lagi bas bukan sahaja dipandu melebihi had laju tersebut malah lebih laju daripada had laju kebangsaan iaitu 110 km/jam di lebuh raya dan 90 km/jam di jalan raya.

Bila berlaku kemalangan, pemandu memberi alasan 'brek rosak'. Memanglah brek tak dapat berfungsi dengan baik dalam situasi kecemasan jika bas dipandu sangat laju macam pelesit.

Dalam masa terdekat JPJ dan PDRM perlu mengambil langkah proaktif dengan menyenaraihitamkan semua pemandu dan bas yang mempunyai jumlah saman yang banyak serta tertunggak.

Pasti ramai pemandu dan syarikat bas yang akan membantah kerana langkah itu boleh menutup periuk nasi mereka.

Dalam hal ini, JPJ dan PDRM mesti bertegas kerana nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain adalah lebih penting berbanding menjaga hati pemandu dan syarikat bas yang bermasalah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita patut tahu mengenai titah addendum

Komplot jahat pengganas komunis sabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu gagal

Haramkan jualan vape di Malaysia