Kita dilahirkan bukan untuk berperang
Setiap manusia yang lahir ke dunia membawa harapan, bukan permusuhan. Kita tidak dicipta untuk membenci, merosakkan atau menindas antara satu sama lain.
Sebaliknya, kita hadir sebagai khalifah yang membawa amanah untuk memakmurkan bumi, menyebarkan kebaikan, dan membina keharmonian sesama insan.
Namun hari ini, konflik seolah-olah sesuatu yang lumrah di dunia ini. Kita disuap dengan kisah peperangan, pertumpahan darah dan penderitaan rakyat yang tidak berdosa.
Di Palestin, Sudan, Ukraine dan banyak tempat lain, kanak-kanak menjadi yatim sebelum sempat mengenal erti kasih sayang sepenuhnya.
Wanita kehilangan suami, warga tua kehilangan tempat bergantung. Semua ini berpunca daripada kerakusan, ketamakan, dan ego manusia.
Dalam kesibukan kita berbalah akibat perbezaan fahaman politik, kaum dan agama, kita lupa bahawa hakikatnya kita semua manusia.
Kita punya hati yang mahu disayangi, keluarga yang ingin dilindungi, dan impian yang mahu dipenuhi. Tetapi peperangan meragut semua itu dengan kejam.
Peperangan bukan sahaja merobohkan bangunan dan meratakan tanah, malah turut meruntuhkan jiwa dan harapan.
Islam sendiri tidak menganjurkan peperangan melainkan sebagai jalan terakhir untuk mempertahankan diri dan agama. Nabi Muhammad SAW sepanjang hayatnya lebih banyak berusaha berdamai, berdakwah dan menyatukan umat daripada mengangkat senjata.
Sejarah juga mencatatkan bahawa peradaban yang besar terbina bukan dengan perang, tetapi dengan ilmu, kebijaksanaan dan kesatuan hati.
Sebagai manusia moden, kita sepatutnya belajar dari sejarah. Peperangan tidak pernah membawa kemenangan sebenar. Yang menang kehilangan jiwa, yang kalah kehilangan segalanya.
Maka, marilah tanamkan dalam hati bahawa kita dilahirkan bukan untuk berperang. Sebaliknya, kita dilahirkan untuk mencintai, untuk memahami, dan untuk mencari titik persamaan yang boleh menyatukan kita semua.
Dunia ini cukup luas untuk kita berkongsi. Tiada siapa patut dibunuh hanya kerana perbezaan. Tiada siapa perlu dibenci hanya kerana warna kulit atau cara ibadahnya.
Jika kita benar-benar faham nilai kehidupan, kita tidak akan rela membiarkan peperangan menjadi jalan penyelesaian.
Marilah kita sebarkan mesej keamanan. Dalam rumah tangga, di tempat kerja, dalam masyarakat, dan dalam ruang maya, binalah budaya damai.
Bukan semua orang mampu menghentikan perang, tetapi kita boleh memilih untuk tidak mencetuskannya.
Ulasan
Catat Ulasan