Tentera Bawang Malaysia jangan cepat melatah
![]() |
Gambar hiasan: ChatGPT |
Fenomena "Tentera Bawang" dalam kalangan netizen Malaysia semakin menjadi-jadi. Hanya dengan melihat satu klip video, membaca satu tajuk berita atau melihat satu tangkap layar, mereka sudah cukup yakin untuk menghakimi, mencaci, menghina dan memalukan orang lain.
Seolah-olah mereka tahu segala-galanya. Seolah-olah mereka berada di tempat kejadian, menyaksikan setiap detik. Hakikatnya, mereka hanya menonton skrin telefon dan menekan papan kekunci tanpa usul periksa.
Apa yang lebih menyedihkan, perbuatan ini bukan lagi sekadar menulis ‘komen pedas’ tetapi sudah melarat kepada buli siber. Individu yang menjadi mangsa kecaman bukan sahaja menanggung malu, malah ada yang mengalami tekanan emosi yang serius.
Ada yang kehilangan pekerjaan, hilang keyakinan diri dan tidak kurang juga yang terpaksa menutup akaun media sosial kerana tidak tahan dihujani kata-kata kesat dan penghinaan melampau.
Ini bukan lagi soal kebebasan bersuara, tetapi kebebasan mencaci. Tidak kira siapa sama ada artis, ahli politik, penjawat awam atau orang awam biasa, semuanya tidak terlepas daripada amukan Tentera Bawang yang merasakan diri mereka adalah pendakwa, hakim dan juri.
Kita perlu ingat, dunia digital tidak sepatutnya menjadi gelanggang penghakiman terbuka. Perlu ada batas. Perlu ada timbang rasa. Kita diajar untuk bertabayyun iaitu menyelidik dan menyemak kebenaran sesuatu perkara sebelum menyebarkan atau menjatuhkan hukuman.
Islam sendiri menekankan prinsip ini namun malangnya, ramai memilih untuk membuli siber orang lain hanya kerana laparkan ‘trending’ dan ‘likes’.
Tidak salah untuk menegur, tetapi tegurlah dengan adab. Tidak salah untuk tidak bersetuju, tetapi nyatakan dengan bijaksana.
Jangan sampai kita menjadi bangsa yang cepat melatah, malas mengkaji, dan suka menjatuhkan orang lain demi memuaskan ego sendiri.
Ingatlah, satu komen yang anda tinggalkan mungkin kelihatan remeh, tetapi bagi yang menjadi sasaran, ia boleh menjadi luka yang dalam.
Jadilah pengguna media sosial yang waras, bukan jaguh papan kekunci yang penuh emosi tetapi sifar empati.
Sudah tiba masanya netizen Malaysia berhenti menjadi Tentera Bawang. Sebaliknya, jadilah masyarakat yang matang, berfikir sebelum berkata, menyelidik sebelum menuduh dan sentiasa sedar bahawa kata-kata itu senjata, ia mampu membina, tetapi juga boleh menghancurkan.
Amalkan sikap rajin membaca dan menyelidik sesuatu isu atau perkara sehingga tuntas agar tidak komen yang ditinggalkan tidak kelihatan seperti individu yang bersikap seperti katak di bawah tempurung.
Ulasan
Catat Ulasan