Jangan beri muka kepada kapitalis tamak pemusnah khazanah alam Pahang
Sudah terlalu lama kerakusan segelintir pihak yang menceroboh tanah kerajaan di Pahang demi mengaut keuntungan atas angin dibiarkan seolah-olah tanpa batas.
Mereka membuka dusun durian Musang King secara haram, mengaut hasil jutaan ringgit setiap musim tanpa membayar sesen pun kepada kerajaan.
Lebih menyedihkan, tanah yang diteroka turut memasuki kawasan hutan simpan kekal yang sepatutnya dilindungi demi kelestarian alam sekitar dan generasi akan datang.
Perbuatan menceroboh ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi mencerminkan sikap tamak dan tidak bertanggungjawab terhadap khazanah negara.
Mereka bukan petani kecil yang menanam pokok di belakang rumah. Mereka adalah kapitalis tamak haloba yang sanggup menebang pokok dalam hutan simpan demi memenuhkan kantung sendiri tanpa mengira perbuatan mereka itu merosakkan ekosistem, memusnahkan habitat hidupan liar dan menggugat sistem tadahan air yang penting untuk masyarakat setempat.
Ironinya, apabila pihak berkuasa mula mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan semula tanah-tanah tersebut kepada status asal, penceroboh mula berselindung di sebalik retorik kononnya mereka 'dianiaya'.
Kononnya kerajaan kejam, kononnya mereka hanya mahu cari makan. Persoalannya, berapa lama lagi kerakusan ini mahu dilindungi dengan berselindung di sebalik alasan yang lapuk dan basi?
Apa yang berlaku adalah penyelewengan dalam pentadbiran tanah yang telah lama dibiarkan. Bayangkan, mereka beroperasi bertahun-tahun, secara terang-terangan, dan tiada tindakan menyeluruh diambil sebelum ini.
Kini apabila kerajaan bertegas untuk menamatkan jenayah itu, maka bermulalah drama air mata, kenyataan bersifat manipulatif dan tekanan politik yang kononnya atas nama keprihatinan rakyat.
Cukuplah. Negara ini memerlukan ketegasan dalam soal pemeliharaan alam dan pengurusan tanah. Kita tidak boleh membiarkan tanah kerajaan dirampas dan dirampok hasilnya dengan sewenang-wenangnya.
Apatah lagi apabila ia melibatkan kawasan hutan simpan kekal yang menjadi aset ekologi negara. Kalau penguatkuasaan dibuat secara sambil lewa, ia hanya memberi isyarat bahawa sesiapa sahaja boleh menceroboh dan mengharapkan ganjaran berupa pemutihan atau pajakan pada masa akan datang.
Pihak berkuasa perlu bersikap tegas. Tiada rundingan dengan pencuri tanah. Tiada tolak ansur dengan mereka yang menginjak undang-undang demi meraih keuntungan.
Kerajaan tidak boleh tunduk kepada tekanan golongan kapitalis tamak haloba yang memanipulasi istilah 'ekonomi' untuk menghalalkan pencerobohan.
Jika tiada tindakan tegas diambil, lebih banyak hutan akan musnah. Lebih banyak sungai akan tercemar. Lebih banyak hidupan liar akan kehilangan habitat.
Akhirnya, anak cucu kita akan mewarisi kemusnahan alam sekitar yang sukar untuk dipulihara seperti keadaan asal.
Ulasan
Catat Ulasan