![]() |
Gambar hiasan: ChatGPT |
Ketika Ramadan hampir melabuhkan tirainya, demam persiapan Aidilfitri pun mula melanda. Bazar penuh sesak, troli melimpah dengan barangan, dan pusat beli-belah digenangi lautan manusia.
Seolah-olah Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa perbelanjaan besar-besaran.
Mungkin baju baharu adalah satu keperluan, tetapi adakah perlu setiap ahli keluarga mempunyai lebih daripada satu pasang?
Kuih raya tersusun cantik di meja, tetapi berapa banyak yang benar-benar dimakan sebelum akhirnya berkulat dan terpaksa dibuang?
Langsir diganti setiap tahun walaupun yang lama masih elok, perabot baru dibeli demi “seri rumah terbuka,” malah ada yang sanggup menukar kereta supaya nampak gah di kampung.
Sikap ini berulang setiap tahun, seolah-olah Aidilfitri menjadi pesta kemewahan dan bukannya perayaan kesyukuran. Ramadan mengajar kita erti kesederhanaan, tetapi sebaik sahaja takbir raya berkumandang, segala-galanya berubah.
Hutang bertambah dan kad kredit hampir mencecah had. Pedulikan itu semua asalkan rumah kelihatan mewah dan baju kelihatan eksklusif.
Lebih menyedihkan, ramai yang bersungguh-sungguh mengumpul kekayaan dunia untuk satu hari perayaan tetapi tidak mengambil peluang membantu mereka yang memerlukan.
Sedangkan Aidilfitri sepatutnya menjadi masa untuk berkongsi rezeki, bukan membazir tanpa manfaat.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada nilai sebenar Aidilfitri. Kebahagiaan bukan terletak pada langsir baharu atau jumlah kuih di meja, tetapi pada keberkatan dan kesyukuran yang kita rasai.
Raya tetap meriah walaupun tanpa pembaziran. Yang penting, raikan Aidilfitri dengan hati yang lapang dan jiwa yang tenang.
Ulasan
Catat Ulasan