![]() |
Suasana hari pertama di Bazar Ramadan Wangsa Maju. Gambar hiasan: FB DBKL |
Bazar Ramadan sentiasa menjadi tumpuan setiap kali bulan puasa tiba. Deretan gerai yang menawarkan pelbagai juadah enak sering menggoda sesiapa sahaja untuk membeli lebih daripada yang diperlukan.
Namun, dalam kemeriahan membeli makanan dan minuman di bazar Ramadan kita sering terleka hingga berlaku pembaziran.
Dalam Islam, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga melatih diri untuk mengawal hawa nafsu, termasuk dalam hal berbelanja.
Godaan untuk membeli segala yang terlihat lazat adalah satu cabaran besar. Makanan yang dibeli secara berlebihan akhirnya tidak habis dimakan dan dibuang begitu sahaja.
Perbuatan ini bukan sahaja membazirkan wang tetapi juga bertentangan dengan nilai kesederhanaan yang ditekankan dalam agama.
Situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini seharusnya membuatkan kita lebih berwaspada dalam perbelanjaan.
Harga barang keperluan meningkat dan ramai yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Berjimat cermat bukan sahaja membantu mengurus kewangan dengan lebih baik tetapi juga memastikan rezeki tidak disia-siakan.
Sebelum ke bazar, rancang terlebih dahulu makanan yang ingin dibeli. Jangan terpengaruh dengan nafsu semata-mata, sebaliknya fikirkan keperluan sebenar.
Jika hanya satu jenis kuih yang mampu dihabiskan, tidak perlu membeli pelbagai jenis hanya kerana ia kelihatan menarik.
Begitu juga dengan lauk-pauk, cukup sekadar satu atau dua jenis yang mencukupi untuk seisi keluarga.
Amalan sederhana dalam berbelanja bukan sahaja mengajar kita untuk lebih bersyukur dengan rezeki yang ada, tetapi juga memberi ruang untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.
Lebih baik wang yang dibazirkan untuk makanan yang tidak dimakan itu disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik yang lebih memerlukan.
Ramadan adalah masa untuk muhasabah diri dan mendidik jiwa. Kawal hawa nafsu, berbelanja secara berhemah, dan elakkan pembaziran.
Biar sederhana asalkan mencukupi, kerana keberkatan itu terletak pada kesyukuran dan kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan.
Ulasan
Catat Ulasan