Malaysia ini memang unik. Kita ada undang-undang, ada peraturan, tetapi ada juga manusia yang anggap semua itu sekadar hiasan.
Salah satunya? Ibu bapa yang dengan bangganya membiarkan anak-anak yang belum cukup umur menunggang motosikal atau memandu kereta.
Ya, memang luar biasa. Anak baru 13 tahun, dah berani tunggang motosikal. Baru 15 tahun, dah boleh pegang stereng kereta. Ibu bapa jenis apakah ini?
Mungkin mereka fikir anak-anak ini sudah cukup handal, macam pelumba profesional. Mungkin juga mereka rasa bangga bila anak mampu ‘melayang’ di jalan raya walaupun tak tahu beza brek dengan pedal minyak.
Tetapi bila kemalangan berlaku, bila anak sendiri atau orang lain yang jadi mangsa, barulah terhegeh-hegeh menangis, salahkan takdir, marahkan pihak berkuasa.
Cuba fikir, kalau betul sayangkan anak, kenapa nak biarkan mereka jadi pembunuh di jalan raya? Atau mereka sebenarnya nak uji ketahanan mental orang lain yang tiba-tiba terpaksa berdepan dengan budak sekolah yang tak pandai kawal kenderaan?
Tak cukup dengan itu, bila ada yang terkorban, barulah nak sibuk tunjuk muka sedih dalam berita, konon tak sangka perkara ini boleh berlaku.
Tak sangka apa? Dah terang-terang lesen pun tak ada, pengalaman pun kosong, tetapi tetap juga bagi mereka pegang kenderaan. Nak salahkan siapa? Kerajaan? Polis? Takdir?
Risiko? Memang sangat banyak. Kalau berlaku kemalangan, anak mereka bukan saja boleh cedera atau mati, tapi ibu bapa sendiri boleh didakwa. Kalau langgar orang, apakah mereka fikir keluarga mangsa akan berdiam diri sahaja?
Jadi, sebelum seronok tunjuk 'terpaling sayangkan anak' dengan membiarkan anak bawa motosikal ke sekolah atau memandu kereta tanpa lesen, cuba fikir banyak kali. Sayang anak bukan dengan cara memberi mereka kebebasan tanpa had, tetapi dengan mengajar mereka tanggungjawab dan menghormati nyawa sendiri serta orang lain.
Hendak sangat anak bawa motosikal atau kereta? Sabar. Biar mereka cukup umur, dapat lesen, baru boleh jadi pemandu yang bertanggungjawab.
Jangan sampai satu hari nanti, ibu bapa sendiri yang menangis atas kealpaan mereka menghancurkan hidup anak sendiri.
Ulasan
Catat Ulasan