Mengundilah di mana anda tinggal, tak perlu balik kampung
![]() |
| Gambar hiasan: FB SPR |
Setiap kali tiba musim pilihan raya, satu soalan sering berlegar dalam kalangan kita: "Balik mengundi ke tidak?"
Masih ramai yang berhijrah dari tempat asal mereka belum menukar alamat pada kad pengenalan masing-masing, justeru menyebabkan nama mereka didaftarkan sebagai pengundi di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di luar lokasi tempat tinggal terkini.
Misalnya, ada individu yang berdaftar sebagai pengundi di Sabah sedangkan dia sudah bertahun-tahun bermastautin di Kuala Lumpur.
Balik kampung pun mungkin setahun sekali sahaja pada musim perayaan. Malah, mungkin sudah lama tidak balik kampung setelah ibu bapa meninggal dunia.
Dalam hal ini, adalah tidak adil sekiranya pengundi terbabit memilih wakil rakyat bagi kawasan Parlimen dan DUN yang di luar kawasan mereka bermastautin.
Jika calon yang mereka undi itu menang, boleh dikatakan beliau tidak benar-benar mewakili suara seluruh anggota masyarakat yang tinggal di kawasannya.
Lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai ramai generasi kedua seperti tanah rancangan Felda yang sebahagian besarnya berhijrah dan menetap di kawasan bandar.
Cuba bayangkan calon yang menang itu beroleh majoriti tipis hasil pangkahan pengundi-pengundi luar yang tidak akan menanggung kesannya sekiranya wakil rakyat terbabit tidak tahu buat kerja.
Sebaliknya, wakil rakyat di kawasan Parlimen dan DUN yang didiami oleh 'pengundi-pengundi balik kampung' pula tidak mewakili aspirasi mereka yang bermastautin di situ tetapi mengundi di luar kawasan.
Selain itu, kos untuk balik mengundi juga semakin tinggi malah boleh mencecah ribuan ringgit khususnya bagi mereka yang berdaftar sebagai pengundi di Sabah atau Sarawak tetapi menetap di Semenanjung.
Itu belum diambil kira pengundi yang tidak dapat balik kampung kerana kekangan tugas. Walaupun majikan dimestikan memberi pelepasan pada hari mengundi, mereka terpaksa mengambil cuti tambahan sekurang-kurangnya sehari sebelum dan selepas tarikh pilihan raya.
Setakat ini, hanya petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas kesihatan, pengamal media dan rakyat Malaysia di luar negara sahaja yang dibenarkan mengundi awal atau mengundi secara pos.
Yang lain terpaksa hadir sendiri ke tempat mengundi dan ramai yang terpaksa melepaskan hak mereka sebagai warganegara kerana berdepan pelbagai kesukaran untuk balik kampung.
Sehubungan itu, perlu diwujudkan kesedaran agar rakyat yang berumur 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi di kawasan di mana mereka tinggal.
Langkah itu adalah lebih adil dan berkesan bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar mewakili aspirasi rakyat di kawasan mereka, bukannya suara mereka yang hanya balik kampung setahun sekali.
Jadi, tunggu apa lagi. Pergi segera ke cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berdekatan untuk menukar alamat pada MyKad.
Selepas dapat MyKad baharu, kemas kini alamat kediaman melalui aplikasi MySPR Daftar dan semoga urusan pertukaran tempat mengundi anda selesai serta dimasukkan dalam daftar pemilih terkini sebelum tiba musim pilihan raya berikutnya.

Ulasan
Catat Ulasan