Haramkan jualan vape di Malaysia

 

Gambar hiasan: Grok


Kerajaan mesti mengambil langkah tegas untuk mengharamkan jualan rokok elektronik atau vape di negara ini. Kesan buruk vape terhadap kesihatan semakin jelas dan tidak boleh lagi dipandang ringan. 

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan vape boleh menyebabkan kerosakan paru-paru, meningkatkan risiko penyakit jantung dan merosakkan sistem pernafasan. 

Walaupun ada pihak yang mendakwa asap vape adalah kurang berbahaya jika dibandingkan dengan rokok biasa, hakikatnya kedua-duanya membawa mudarat kepada tubuh manusia.

Apa yang lebih membimbangkan adalah pengaruh buruk vape terhadap remaja dan kanak-kanak. Rasa vape yang pelbagai seperti buah-buahan dan gula-gula menjadikannya amat menarik kepada golongan muda. 

Penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah kini meningkat secara membimbangkan. Vape membuka pintu kepada gejala ketagihan nikotin pada usia yang sangat muda. 

Ini bukan sahaja mengancam kesihatan mereka, malah membentuk tabiat buruk yang tidak memberi sebarang faedah dan membazir.

Menghisap vape bukan sahaja aktiviti sosial yang bermakna, malah tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada kehidupan individu. 

Ia juga hanya membazirkan wang serta masa dan menjejaskan kesihatan. Wang yang dibelanjakan untuk membeli peranti vape dan cecair nikotin boleh digunakan untuk keperluan yang lebih berfaedah, seperti pendidikan, sukan atau memperbaiki taraf hidup keluarga.

Jika trend ini dibiarkan berlarutan tanpa kawalan, negara bakal berdepan dengan generasi muda yang lemah dari segi kesihatan, lebih terdedah kepada penyakit kronik dan produktiviti negara juga akan terjejas. 

Sudah terlalu banyak bukti menunjukkan bahawa sikap bertangguh dalam menangani masalah ini akan membawa kesan jangka panjang yang sukar dipulihkan.

Kerajaan perlu bertindak berani dan segera. Pengharaman jualan vape adalah langkah paling wajar demi melindungi masa depan rakyat, terutamanya generasi muda. 

Jangan berkompromi dalam soal kesihatan rakyat. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, dan dalam isu vape ini, tindakan pencegahan mesti bermula sekarang sebelum terlambat.

BACA LAGI

MENARIK

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita patut tahu mengenai titah addendum

Komplot jahat pengganas komunis sabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu gagal