Apa yang patut anda lakukan jika kawan liat bayar hutang?
Bayangkan situasi ini: Anda hulur RM200 sebab konon-kononnya dia "terdesak", nak bayar bil, katanya. Dua minggu kemudian, dia muat naik gambar bercuti di Langkawi siap dengan kapsyen "healing itu penting". Anda pun terfikir, "Banyak la kau punya healing. Aku pun tengah pokai ni".
Menghadapi rakan yang liat membayar hutang memang menguji tahap kesabaran, iman, dan kadangkala tahap gaji sendiri. Tetapi jangan risau. Ada beberapa cara yang boleh dipertimbangkan bila berdepan dengan spesies manusia yang liat bayar hutang.
Pertama sekali, cuba gunakanpendekatan mesra. Tegur secara bersahaja. Contohnya, “Eh, kau dah tengok bil elektrik aku belum? Macam sama je dengan jumlah hutang kau tu.” Sambil gelak-gelak, kononnya bergurau. Kalau dia gelak sama, maksudnya dia sedar.
Kalau gaya lembut tak menjadi, naikkan sikit gear. Gunakan taktik pasif-agresif. Contohnya, bila dia ajak keluar makan, jawab, “Sorry bro, poket kempis. Ada orang belum bayar hutang.” Harap dia rasa bersalah.
Kalau masih gagal, cuba hantar mesej yang berbunyi, “Notis Peringatan: Bayaran sebanyak RM200 masih belum diselesaikan sejak 27 Mac 2024. Caj penalti akan dikenakan dalam bentuk sindiran bertubi-tubi.”
Kalau anda jenis berani mati, terus terang sahaja. “Kau ingat aku tauke balak ke? Bila kau nak bayar hutang?” Biar hati dia sakit daripada kita terpaksa memendam kemarahan.
Memang ada juga yang memang tak akan bayar. Bila sampai tahap ini, jangan salahkan diri. Anggaplah itu sedekah. Reda sahajalah dan senaraihitamkan dia. Jangan pinjamkan duit kepada dia lagi.
Jadi, sesiapa yang terasa ada hutang lapuk dengan kawan-kawan tu, cepat-cepatlah bayar. Ingat, hutang wajib dibayar.
Ulasan
Catat Ulasan