Gambar hiasan: Justiniano Adriano / Pexels |
"Kau pakai kereta apa sekarang?"
Soalan itu kerap timbul setiap kali kita berjumpa dengan kawan-kawan lama.
Entah dari mana asal-usul soalan cepumas itu, tidak dapat diketahui.
Tidak kurang juga ada yang memandang lekeh terhadap mereka yang memiliki kereta lama atau terpakai.
Manakala mereka yang berkereta baharu atau yang canggih seperti EV dengan bangganya menayangkan kunci kereta di atas meja restoran mamak.
Apakah benar jenis kereta yang dimiliki menjadi ukuran kejayaan dan kekayaan seseorang?
Sehingga menyebabkan mereka yang menggelarkan diri sebagai pempengaruh sanggup bergolok gadai malah menipu untuk menunjukkan mereka mampu memiliki kereta mewah.
Kegilaan seperti ini mesti dihentikan kerana hanya boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam jurang kepapaan.
Belilah kereta ikut kemampuan poket sendiri, bukan untuk menayang-nayangkan kepada saudara -mara dan rakan-rakan kononnya sekarang kita sudah berjaya.
Apa guna berkereta mewah dan besar jika tidak tidur lena memikirkan beban hutang dan kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung.
Sedangkan mereka yang memiliki kereta murah, terpakai atau lama hidupnya lebih tenang kerana hutang telah habis dibayar atau jumlah ansuran bulanan dan kos penyelenggaraan tidak besar.
Lagipun, secantik atau secanggih mana pun kereta yang baru dibeli, lama kelamaan menjadi besi buruk juga.
Ulasan
Catat Ulasan