Asal usul Adat Perpatih, keturunan raja-raja dunia
Sebagaimana yang telah diketahui dalam buku-buku tawarikh dan Sejarah Melayu, kebanyakan asal usul raja-raja Melayu meang tidak dapat dinafikan bahawa zuriat raja-raja Melayu itu berasal dari Minangkabau, Bukit Siguntang Mahameru, Palembang, Pasai dan Acheh dalam negeri Semudra ertinya 'Semut Besar' iaitu kejadian sejarah Pulau Sumatera sesudah timbul kembali dari laut sebesar semut besar maka dinamakan Sumatera hingga sekarang ini. Dalam bab asal usul zuriat raja-raja Melayu ini tidaklah dapat dibahaskan dengan panjang lebar di sini kerana kurang penyelidikan dan singkat fikiran penulis. Penyelidikan mengenai sejarah memang sukar dan akan memakan masa yang lama untuk mengatasi segala kesulitan, dan sejarah tidak boleh ditulis hanya dengan melulu sahaja.
Berkenaan dengan asal keturunan raja-raja dunia, mengikut pendapat ahli-ahli dalam Adat Perpatih yang belum dibukukan tetapi hanya lancar di mulut sahaja, ialah dari tiga sela dariapda nasab Raja Zulkarnain cucu cicit kepada Nabi Allah Adam a.s. Baginda ini berputera tiga orang lelaki iaitu:
1. Yang tua bernama Raja Alif dititahkan oleh ayahanda baginda berlayar ke negeri Rom membuka negeri dan merajai sekeliling benua Rom termasuk seluruh benua Eropah dan Afrika. Ayahanda baginda membekalkan sebuah bahtera dan sebuah peti berisi batunya intan pasirnya dalam batu emas.
2. Yang kedua Raja Dipang dititahkan ayahanda baginda ke Timur Jauh merajai benua China dan daerah sekelilingnya dengan sebuah bahtera dan sebuah peti berisi batunya emas pasirnya perak.
3. Yang ketiga Sri Raja di-Raja dititahkan ayahanda bagina ke Gunung Berapi menghala ke selatan benua Asia dan menuju ke Gugusan Pulau-pulau Melayu dengan bekalan bahtera dan sebuah peti berisi mahkota kebesaran mengeraskan adat serta hukum, dan pemandu jalannya ialah seekor burung merpati di udara dan itik saleh di laut.
Baginda Sri Raja di-Raja sampai ke Gunung Berapi tersebut, jajahannya dikelilingi gunung berapi itu, serta menitahkan rakyat jelata membuka negeri dengan banguna istana kota dan paritnya cukup lengkap sekali. Orang sudah ramai dan negeri luas terbuka, dagang santeri ramai berniaga, negeri maju dan makmur, maka membuatlah baginda akan undang-undang memperelokkan rakyat sebagai kemanusiaan yang sebenarnya yang dinamakan 'Undang-undang Adat' iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adapun yang bernama Adat Perpatih itu iaitu "Cincang pampas, bunuh beri balas, anak dipanggil makan, anak buah sorong ke balas." Adapun yang bernama Adat Temenggung itu iaitu "Siapa membunuh dia kena bunuh, siapa berhutang, dia bayar, siapa menjala dia terjun, siapa menggigit dia kena gigit."
Keturunan baginda telah kembang biak merajai dan membuka negeri di segala teluk rantau Asia Selatan. Berhubung dengan lawatan Raja Suran masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan anak Raja Kida Hindi dalam kitab Pelbagai Chetra Melayu, maka cucu-cicit Sri Raja di-Raja ini bernama Raja Mahmud menjadi raja di negeri Padang Luas Pagar Ruyung, ada berputera tiga orang, dua orang lelaki dan seorang puteri: yang sulung bernama Sri Mara Patih, yang tengah Sri Temenggung dan yang bongsu Puteri Sri Banun. Apabila ketiga putera puteri ini sudah besar remaja maka ayahanda baginda Raja Mahmud pun gering langsung mangkat. Maka Perdana Menteri untuk melantik gantinya dipanggil segala rakyat negeri, dipukul tabuh larangan, menyahut tabuh yang ramai. Setelah datang mengadap segala datuk-datuk dan hamba rakyat jelata ke balairung seri, maka Perdana Menteri mengumumkan bahawa hendaklah sekalian rakyat negeri mengetahui bahawa raja akan diganti, patah tumbuh hilang berganti, dan diumumkan bahawa anak baginda yang sulung Sri Mara Patih akan menaiki takhta kerajaan. Tetapi Sri Temenggung telah menahannya dan berontak kerana dia sendiri hendak merebutnya menduduki bekas takhta kerajaan ayahandanya itu. Istiadat mengganti raja itu telah gagal, dan rakyat negeri berasa dukacita di atas peristiwa dua beradik itu. Maka Mara Patih (Perpatih) pun memberitahu rakyat suruh bersabar dan alah beralah sampai dapat keputusan.
Sementara itu, Sri Mara Patih memanggil Sri Temenggung untuk berunding di balairung seri dengan Perdana Menteri. Setelah hadir maka bermuafakatlah kedua saudara itu supaya bertolak ansur dan menyerahkan takhta kerajaan Padang Luas itu kepada adinda baginda Puteri Sri Banun dengan syaratnya diberi suami dahulu. Temenggung masih menyangkal kerana katanya tidak patut perempuan menjadi raja. Bila Perpatih berkata yang adinda Puteri Sri Banun akan ditabalkan menjadi raja suami isteri, maka Sri Temenggung pun bersetuju, dan muafakat mengambil raja dari Hindi akan dikahwinkan dengan Puteri Sri Banun itu. Istiadat perkahwinan dilangsungkan mengikut istiadat raja-raja dan baginda suami isteri ditabalkan menduduki takhta kerajaan. Perpatih dan Temenggung menghadap Sultan suami isteri untuk menyerahkan kuasa pentadbiran negeri, tetapi Raja Hindi menolak dengan alasan tidak mengetahui adat istiadat negeri itu. Raja Hindi memulangkan kepada kedua-dua saudara iparnya Perpatih dan Temenggung untuk memerintahnya. Perpatih dan Temenggung pun memerintah di negeri Padang Luas itu mengikut adat istiadat masing-masing.
Lama kelamaan dalam pemerintahan kedua-dua saudara itu terbit satu perbalahan. Pada satu hari anjing Perpatih telah menggigit anak Temenggung, maka oleh Temenggung dipukulnya anjing Perpatih itu patah. Apabila Perpatih melihat anjingnya patah maka Perpatih menanya pada Temenggung, "Kenapa anjingnya dipukul?" Temenggung menjawab, "Anjing itu telah menggigit anaknya". Perpatih bertanya lagi. "Apa fasal dipukul? Kerana mengikut undang-undang engkau, gigit balas gigit." Bila Temenggung mendengar jawapan Perpatih itu ia pun naik marah kerana anjing tidak boleh digigit. Maka kedua-duanya pun pergilah menghadap Raja Hindi untuk dibicarakan persengketaannya itu. Setelah baginda Raja Hindi mendengar aduan kedua bersaudara itu, baginda diam sejurus (sambil berfikir), maka ia pun bertitah, "Tidak ada kesalahan daripada kekanda berdua, hanya kesalahan itu ialah daripada adinda juga, kerana sebuah perahu dua nakhoda karam, dan sebuah negeri dua raja huru-hara."
Ditulis semula dari Bab I, buku Asal Usul Adat Perpateh, edisi pertama, 1962.
Dikarang dan disusun oleh Abu Chik Mat Sarom, Abu Hassan bin Ahmad dan Sulaiman bin Idris.

Ulasan
Catat Ulasan