Pempengaruh vs pakar: Siapakah yang lebih dipercayai?
Pada masa ini, ramai dalam kalangan masyarakat yang lebih mempercayai pempengaruh yang bercakap dengan yakin di depan kamera berbanding seorang pakar yang mahir dan berpengetahuan dalam bidangnya.
Kita sedang menyaksikan satu fenomena yang luar biasa iaitu kebangkitan pengaruh individu biasa yang mampu membentuk pandangan awam, kadangkala lebih berkesan daripada profesor, doktor atau pemimpin.
Pempengaruh bukan lagi sekadar selebriti media sosial yang mempromosi produk kecantikan atau gaya hidup. Mereka kini bercakap tentang kesihatan, politik, kewangan, pendidikan dan agama.
Ada yang menyampaikan maklumat berguna, namun tidak kurang juga yang menyebarkan maklumat salah, kurang tepat atau sangat berat sebelah tanpa tapisan dan semakan fakta.
Mengapa semakin ramai percaya pada pempengaruh dan bukannya pakar?
Pertama, penyampaian mereka lebih mudah difahami. Bahasa yang digunakan mesra, ringkas dan santai.
Tambahan pula, mereka sentiasa ada di telefon pintar kita sama ada melalui TikTok, Instagram atau YouTube.
Mereka 'dekat' dan dilihat sebagai orang biasa yang berjaya, bukan golongan elit yang sukar dihampiri.
Kedua, ketidakpercayaan terhadap institusi semakin meningkat. Ramai menganggap pakar terikat dengan kepentingan tertentu dari segi politik, perniagaan atau kerajaan.
Sebaliknya, apabila influencer bercakap secara 'bebas', mereka dilihat lebih tulus dan ikhlas.
Namun, di sinilah 'bahaya' bermula. Apabila maklumat berkaitan vaksin, penyakit, undang-undang atau isu sensitif disampaikan oleh individu tanpa latar belakang akademik atau latihan profesional, risiko untuk mencetuskan salah faham menjadi tinggi. Misalnya, kita pernah menyaksikan ramai yang mempercayai bulat-bulat teori konspirasi COVID-19 yang disebarkan oleh pempengaruh yang hanya bersandarkan andaian sendiri.
Pakar pula tidak pandai 'bermain media'. Gaya mereka membosankan, penuh istilah teknikal dan sukar dihadam.
Akibatnya, suara mereka tenggelam, dan orang ramai memilih naratif yang lebih menarik walaupun kurang tepat atau salah.
Kita tidak boleh salahkan para pempengaruh sepenuhnya. Ramai antara mereka ingin membantu dan menyampaikan pandangan berdasarkan pengalaman sendiri.
Cuma apabila melibatkan kesihatan awam, keselamatan negara, atau undang-undang, tiada kompromi dalam soal menyampaikan maklumat yang tepat dengan disokong oleh fakta.
Salah satu jalan penyelesaian adalah menjadikan pakar sebagai pempengaruh. Mereka seharusnya mengubah pendekatan dan gaya penyampaian agar lebih mudah difahami oleh orang ramai.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu bersikap bijak dalam membezakan antara populariti dan autoriti agar mereka tidak terjebak dalam perangkap maklumat palsu.
Ulasan
Catat Ulasan