Noktahkan keganasan pemandu mabuk

Keganasan jalan raya yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk semakin membarah dalam masyarakat dengan meragut nyawa insan tidak berdosa.

Setiap kali berita kemalangan maut dilaporkan, rakyat dikejutkan dengan kisah tragik yang berpunca daripada individu yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk.

Lebih menyedihkan, mangsa sering kali terdiri daripada pengguna jalan raya yang tidak pernah meneguk walau setitis arak pun sepanjang hayat mereka.

Tindakan memandu di bawah pengaruh alkohol bukan sekadar kecuaian, tetapi satu bentuk keganasan yang disengajakan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Pemandu mabuk sedar tentang risiko yang mereka ambil, namun tetap memilih untuk mengabaikan keselamatan orang lain demi kepuasan sendiri.

Sikap mementingkan diri sendiri ini jelas menunjukkan kegagalan nilai kemanusiaan dan kurangnya rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan segelintir masyarakat.

Lebih parah, ada antara mereka yang cuba melarikan diri selepas kemalangan, meninggalkan mangsa yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan bergelut antara hidup dan mati.

Perbuatan ini bukan sahaja kejam, malah mencerminkan betapa rendahnya moral individu yang sanggup mengorbankan nyawa orang lain.

Undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas agar menjadi pengajaran dan pencegahan kepada mereka yang masih berdegil.

Hukuman yang berat bukan bertujuan membalas dendam, tetapi sebagai keadilan kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang.

Usah dilayan suara-suara sumbang yang membantah hukuman tegas dilaksanakan terhadap mereka yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehinggga menyebabkan kemalangan maut.

Pada masa sama, kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan agar memandu dalam keadaan mabuk tidak lagi dianggap sebagai kesalahan kecil.

Rakan-rakan dan ahli keluarga juga memainkan peranan penting untuk menghalang individu daripada memandu selepas mengambil alkohol.

Budaya saling menegur dan bertanggungjawab perlu dipupuk bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya.

Setiap nyawa yang terkorban akibat pemandu mabuk adalah kehilangan besar yang tidak boleh diganti dengan apa jua bentuk pampasan.

Keganasan jalan raya oleh pemandu mabuk mesti dihentikan segera sebelum lebih banyak tragedi menyayat hati berulang umpama tanpa kesudahan.

BACA LAGI



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kawan toksik senyum di depan, tikam di belakang

Jauhi pembaziran makanan semasa bulan Ramadan

Akhirnya bonda tertawa