Makanan dan minuman ini boleh bantu anda berhenti merokok
Pengambilan makanan dan minuman tertentu boleh membantu anda mengurangkan ketagihan nikotin serta membersihkan badan secara semula jadi.
Susu dan produk tenusu merupakan antara pilihan terbaik untuk mengurangkan keinginan merokok. Menurut kajian, ramai perokok mendapati bahawa minum segelas susu sebelum menghisap rokok akan memberikan rasa yang sangat tidak enak pada mulut mereka.
Ini secara tidak langsung akan membantutkan keinginan untuk terus merokok. Anda boleh mencuba teknik ini setiap kali rasa ingin merokok muncul.
Buah-buahan yang kaya dengan vitamin C seperti oren, jambu batu dan lemon juga sangat membantu. Merokok lazimnya akan mengurangkan simpanan vitamin C dalam badan anda dengan cepat.
Dengan mengambil buah-buahan ini anda bukan sahaja menggantikan nutrien yang hilang malah rasa asid sitrik yang segar dapat membantu mematikan rasa keinginan terhadap tembakau.
Selain itu buah-buahan yang perlu dikunyah lama seperti epal atau lobak merah mentah juga baik untuk mengatasi keinginan merokok.
Sayur-sayuran tertentu seperti seleri, timun dan terung juga mempunyai kesan yang sama seperti susu di mana ia menjadikan rasa rokok menjadi pahit dan tidak menyenangkan.
Makan sayur-sayuran mentah sebagai snek ringan sepanjang hari dapat membantu mengalihkan tumpuan minda daripada memikirkan tentang rokok.
Selain itu, sayur-sayuran hijau juga kaya dengan antioksidan yang membantu proses detoksifikasi paru-paru anda dengan lebih cepat.
Air kosong atau air mineral adalah elemen yang paling penting dalam proses ini. Minum air yang banyak membantu mencuci sisa nikotin keluar dari sistem badan anda melalui air kencing.
Setiap kali anda gelisah atau ketagih nikotin cubalah minum segelas besar air sejuk secara perlahan-lahan.
Langkah ini menjadikan perut berasa kenyang dan membantu menenangkan sistem saraf anda tanpa memerlukan bantuan bahan kimia berbahaya.
Teh herba terutamanya teh halia atau teh pudina juga sangat disyorkan. Halia dikenali dengan sifatnya yang dapat mengurangkan rasa loya yang sering dikaitkan dengan kesan berhenti merokok manakala haruman pudina memberi kesan penenang.
Elakkan minuman dengan kandungan kafein yang tinggi seperti kopi atau minuman bertenaga pada peringkat awal kerana kafein selalunya akan membuatkan anda menjadi lebih cemas lantas cenderung mencari rokok untuk menenangkan diri.

Ulasan
Catat Ulasan