Netizen Malaysia pemalas, jenis suka baca tajuk
Ada sejenis penyakit aneh yang semakin menular di Malaysia iaitu penyakit “suka baca tajuk, malas baca isi.” Kalau dibuat kajian rasmi, mungkin sudah mencapai tahap kronik.
Setiap kali ada artikel berita, posting Facebook, atau ciapan X yang panjang sikit, majoriti netizen terus berhenti pada ayat pertama.
Tajuk dah cukup. Tak perlu baca habis. Asal nampak nama pemimpin politik atau artis kegemaran, terus komen seperti pakar paling arif di alam maya.
Lebih lucu bila ramai yang marah-marah tentang sesuatu yang sebenarnya langsung tak disebut dalam artikel. Kalau buka ruangan komen, boleh nampak komen-komen semberono.
Ada yang menyumpah seranah, ada yang keluarkan fatwa sendiri, dan ada yang buat teori konspirasi melebihi skrip filem Bollywood. Merekalah yang paling hebat dalam semua perkara.
Yang lebih membimbangkan, tabiat malas membaca ini bukan setakat dalam hal hiburan atau gosip. Bila bab ilmu, ekonomi, agama, atau isu negara, sikap sama terbawa-bawa.
Asal ada satu potongan video atau headline yang nampak sensasi, terus dianggap kebenaran mutlak. Tiada usaha semak sumber, tiada minat nak faham konteks. Yang penting, cepat komen, cepat ‘viral’.
Netizen Malaysia kononnya pantas dan celik digital, tetapi ramai sebenarnya buta isi. Mereka cuma tahu sedikit, tetapi berlagak seperti tahu semua tau 'palatau'.
Penyakit suka baca tajuk sahaja masih boleh dirawat. Caranya mudah: baca sampai habis sebelum komen.
Namun, melihat kepada mentaliti netizen Malaysia yang rata-ratanya pemalas, penyakit ini dijangka bertapak untuk tempoh yang lama sebelum dibanteras sepenuhnya.
Ulasan
Catat Ulasan