Kembalikan hukuman rotan di sekolah

 

Isu kemerosotan disiplin pelajar kini hangat diperkatakan selepas kejadian mengejutkan di Melaka baru-baru ini apabila empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan di kawasan sekolah. 

Kes ini bukan sahaja menggoncang kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan di institusi pendidikan, malah menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana sistem pendidikan negara masih mampu membentuk akhlak dan disiplin generasi muda.

Dalam konteks ini, sudah tiba masanya kerajaan dan Kementerian Pendidikan menilai semula keberkesanan pendekatan sedia ada terhadap pengurusan disiplin pelajar. 

Ramai pihak berpendapat bahawa hukuman rotan, yang suatu ketika dahulu menjadi langkah tegas tetapi mendidik, wajar dikembalikan semula di sekolah bagi mengekang gejala tidak bermoral yang semakin membimbangkan.

Sebelum ini, hukuman rotan bukan sekadar satu bentuk hukuman fizikal, tetapi simbol ketegasan dan tanggungjawab. 

Ia dilakukan dengan kawalan dan peraturan tertentu, bukan untuk mencederakan, sebaliknya untuk menyedarkan. 

Namun, apabila pendekatan ini dihapuskan atas alasan ia kononnya bersifat kejam atau tidak sesuai dengan zaman moden, kesannya kini mula dirasakan. 

Disiplin pelajar semakin merosot, rasa hormat terhadap guru semakin menipis dan nilai moral kian pudar.

Kejadian rogol di Melaka itu membuktikan bahawa segelintir pelajar sudah hilang batas dan adab, hingga sanggup melakukan jenayah keji di tempat yang sepatutnya menjadi medan ilmu. 

Di manakah silapnya sistem pendidikan kita sehingga pelajar boleh hilang kawalan moral dan sanggup melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu?

Sehubungan itu, hukuman rotan boleh dijadikan amaran awal bagi mengelakkan pelajar terus terjebak dalam tingkah laku yang menyeleweng. 

Dalam Islam juga, rotan dibenarkan untuk mendidik asalkan ia dilakukan dengan penuh hikmah dan tidak keterlaluan.

Pelaksanaan semula hukuman rotan perlu mempunyai garis panduan yang jelas. Guru yang diberi kuasa merotan perlu dilatih dan memahami batasannya. 

Hukuman ini mestilah bersifat mendidik, bukan menghina. Ia juga perlu diiringi dengan sesi kaunseling agar pelajar yang dikenakan tindakan tidak merasa terpinggir, sebaliknya memahami bahawa hukuman itu bertujuan untuk kebaikan mereka sendiri.

Selain hukuman rotan, sistem pendidikan juga perlu memperkukuhkan pendidikan moral, agama dan nilai kemanusiaan sejak di bangku sekolah rendah

Pendidikan tanpa disiplin hanyalah teori kosong. Tanpa ketegasan, sekolah akan kehilangan fungsi utamanya sebagai tempat membentuk insan yang berakhlak, bukan sekadar cemerlang akademik.

Kes rogol di Melaka sepatutnya menjadi amaran bahawa pendekatan lemah lembut semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mengawal masalah disiplin generasi muda. 

Jika kita terus berkompromi atas nama kemodenan dan hak asasi, maka semakin ramai pelajar akan hilang arah dan mengalami keruntuhan akhlak yang serius.

Sudah tiba masanya hukuman rotan dipertimbangkan semula. Langkah ini bukan bertujuan menakut-nakutkan pelajar, tetapi untuk mengembalikan semangat disiplin dan rasa hormat yang semakin terhakis dalam sistem pendidikan kita. 

Disiplin bukan boleh diajar dengan kata-kata semata-mata; kadangkala sedikit ketegasan diperlukan untuk mendidik generasi muda tentang agar menginsafi kesalahan mereka.

BACA LAGI


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita patut tahu mengenai titah adendum

Kawan toksik senyum di depan, tikam di belakang

Akhirnya bonda tertawa