Tolonglah bertindak tegas tangani kes buli
Buli bukan sekadar perbuatan nakal atau gurauan kasar. Perbuatan kejam itu boleh meninggalkan parut sepanjang hayat, memusnahkan masa depan, malah meragut nyawa.
Setiap kali ada mangsa baharu, kita hanya dengar ayat sama diulangi iaitu: “Siasatan sedang dijalankan”.
Kes kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir baru-baru ini adalah tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara.
Pelajar sekolah menengah agama di Sabah itu dilaporkan menjadi mangsa buli fizikal dan mental, namun seolah-olah tiada tindakan konkrit untuk menghentikan penderitaannya sehingga akhirnya dia terkorban.
Sebelum ini, sering kedengaran janji tindakan tegas aka diambil untuk membanteras gejala buli, tetapi janji hanya tinggal janji.
Kelewatan pentadbir sekolah bertindak mencetuskan persepsi seolah-olah pembuli dilindungi. Mungkin pihak sekolah ingin menjaga reputasi dan rekod disiplin namun harga yang perlu dibayar sangat mahal sehingga meragut nyawa mangsa.
Sehubungan itu, gejala buli mesti dinoktahkan dengan tindakan tegas. Tiada kompromi. Tiada lagi “kaunseling” untuk penjenayah muda yang sanggup menghancurkan nyawa orang lain. Undang-undang mesti jelas, tegas, dan dilaksanakan tanpa pilih kasih.
Tidak cukup sekadar mengenakan tindakan disiplin seperti digantung persekolahan atau dibuang sekolah. Pembuli mesti diserahkan kepada pihak berkuasa dan seterusnya diheret ke mahkamah.
Jika kita benar-benar mahu melindungi mangsa buli, mesti ambil tindakan yang tegas.
Jangan sampai ada lagi mangsa buli yang dihantar ke rumah sebagai jenazah.
Ulasan
Catat Ulasan