Lelaki juga jadi mangsa gangguan seksual
![]() |
Gambar hiasan: ChatGPT |
Apabila topik gangguan seksual dibincangkan, kebanyakan masyarakat membayangkan mangsa sebagai wanita dan pemangsa sebagai lelaki.
Naratif ini begitu dominan sehingga sering kali menenggelamkan realiti bahawa lelaki juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa gangguan seksual baik di tempat kerja mahupun ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api.
Gangguan seksual bukan semata-mata soal keinginan, tetapi pencabulan terhadap mangsa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina.
Namun, apabila mangsanya lelaki, stigma sosial menjadi lebih berat. Ramai menganggap lelaki terutamanya yang kelihatan macho tidak mungkin terganggu, sepatutnya suka, atau boleh melawan.
Sedangkan hakikatnya, ramai lelaki tidak selesa, trauma dan berasa tercalar maruahnya tetapi memilih untuk berdiam diri.
Dalam sesetengah kes, ada wanita yang bersikap terlalu agresif seperti membuat sentuhan tidak wajar, mengeluarkan kata-kata berunsur seksual, atau menyindir secara terang-terangan terhadap rakan sekerja lelaki.
Dalam pengangkutan awam pula, ada laporan yang menyatakan lelaki disentuh secara tidak sopan oleh penumpang wanita, namun mereka tidak tahu bagaimana untuk bertindak tanpa dilihat sebagai lebih-lebih.
Masalah menjadi lebih rumit apabila ada yang bimbang tindakan membela diri akan memakan diri. Ramai lelaki takut melaporkan gangguan kerana khuatir tidak dipercayai, diejek, atau lebih parah, dituduh mencabul wanita terbabit pula.
Salah satu sebab lelaki memilih untuk berdiam diri adalah kerana takut ditertawakan. Masyarakat masih melihat lelaki sebagai mahkluk yang kuat dan lasak.
Perbuatan mengaku sebagai mangsa gangguan seksual dikhuatiri akan menjadikan mereka bahan lawak jenaka.
Selain itu, kebanyakan kempen atau pusat sokongan lebih tertumpu kepada wanita. Lelaki yang mahu melaporkan mungkin tidak tahu ke mana harus pergi atau tidak yakin mereka akan dilayan dengan adil.
Lebih membimbangkan, dalam suasana sosial yang cenderung mempercayai wanita sebagai mangsa, lelaki bimbang akan dipersalahkan pula. Ada yang takut dilabel pemangsa walaupun mereka sebenarnya mangsa.
Sudah tiba masanya kita mengiktiraf bahawa gangguan seksual tidak mengenal jantina. Lelaki juga boleh terkesan dari segi emosi, psikologi dan reputasi.
Kesedaran ini penting agar semua pihak, tanpa mengira gender, diberi perlindungan dan saluran yang adil untuk membuat aduan serta mendapatkan sokongan.
Tempat kerja perlu mempunyai polisi yang jelas dan neutral jantina dalam menangani gangguan seksual. Pengangkutan awam pula harus memperkuatkan langkah keselamatan dan pendidikan awam tentang tingkah laku yang melanggar privasi orang lain.
Diam tidak bermakna suka atau reda. Ramai lelaki memilih untuk tidak bersuara kerana sistem yang tidak memihak kepada mereka.
Namun setiap suara yang diabaikan, setiap kes yang tidak dilaporkan hanya melanjutkan penderitaan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual.
Semua pihak mesti melihat isu ini dengan lebih terbuka dan adil. Lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual juga berhak dilindungi.
Ulasan
Catat Ulasan