Susah sangatkah berhenti bila pejalan kaki melintas?

 


Pada satu pagi, kelihatan seorang murid sekolah sedang terkial-kial untuk melintas jalan. Walaupun lintasan pejalan kaki yang berwarna kuning jelas terhampar, tiada sebuah kenderaan pun yang berhenti untuk memberi laluan kepadanya.

Mujurlah seorang pemandu yang agak berusia berhenti supaya murid itu dapat melintas. Malangnya, pemandu yang budiman itu menjadi sasaran pemandu-pemandu lain di belakang untuk melepaskan geram.

Bunyi hon bertalu-talu seolah-olah mendesak pemandu yang sudah melepasi usia separuh abad itu segera menggerakkan kenderaannya.

Namun dia tetap enggan berganjak selagi murid sekolah terbabit dapat melintas dengan selamat ke seberang. Dia tidak takut kerana apa yang dilakukannya adalah selaras dengan undang-undang jalan raya.

'Kisah benar' ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pemandu benar-benar mematuhi undang-undang jalan raya berkaitan hak pejalan kaki untuk melintas. 

Malangnya, semakin ramai pemandu yang bersikap biadab dan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan hak pejalan kaki terutamanya murid sekolah.

Mungkin mereka sudah terlewat untuk ke tempat kerja tetapi itu bukan alasan bagi mewajarkan sikap mereka tidak mematuhi undang-undang.

Tambahan pula, had laju yang ditetapkan berhampiran kawasan sekolah adalah 30 km/jam. Sepatutnya, pemandu memperlahankan kenderaan dan bukannya memecut laju.

Lebih menyakitkan hati, ada pemandu yang enggan berhenti apabila lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau. Kebiadaban mereka itu boleh mengundang padah sekiranya murid sekolah terus melintas kerana yakin semua kenderaan sudah berhenti.

Maka, hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan terhadap pemandu yang enggan memberi laluan kepada pejalan kaki. 

Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan supaya pemandu-pemandu yang tidak bersekolah ini dapat dikenakan hukuman.

Lebih baik jika lesen memandu mereka digantung. Boleh sahaja dibatalkan sekiranya mereka berulang kali melakukan kesalahan tersebut.

Langkah tegas itu dapat mengurangkan jumlah pemandu yang kurang cerdik dan tidak bertamadun di jalan raya, sekali gus menjamin keselamatan pejalan kaki terutamanya anak-anak kita.

BACA LAGI 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita patut tahu mengenai titah addendum

Komplot jahat pengganas komunis sabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu gagal

Tentera Bawang Malaysia jangan cepat melatah