![]() |
Gambar hiasan: ChatGPT |
Setiap kali berlaku kemalangan jalan raya, kita akan dengar pelbagai alasan klise. Jalan berlubanglah, hujan lebatlah, kereta brek mengejutlah. Kononnya semua faktor luar yang menjadi punca.
Tetapi, jarang sekali ada yang berani mengakui bahawa punca sebenar adalah kebodohan manusia itu sendiri.
Ya, kebodohan. Bukan jalan raya yang bodoh, bukan hujan yang bodoh, bukan kucing melintas yang bodoh.
Manusia yang memandu dengan gaya ala-ala pelumba Formula 1 di jalan kampung, manusia yang sibuk skrol TikTok semasa memandu, manusia yang percaya lampu merah itu sekadar hiasan.
Lihat saja di lebuh raya. Ada yang memandu 60 km/j di lorong paling kanan, seolah-olah sedang menikmati percutian tenang di desa.
Ada pula yang memandu selaju kilat, menyelit sana-sini, yakin nyawa mereka ada ‘extra life’ macam dalam permainan video. Bila berlaku kemalangan, mulalah merayu di tepi jalan dengan wajah penuh sesalan.
Belum masuk bab ‘raja pelesit' yang merasakan jalan raya itu warisan turun-temurun keluarga mereka. Beri lampu tinggi dari jauh, isyarat suruh ke tepi seolah-olah mereka sedang mengiringi konvoi VVIP.
Atau yang lebih kreatif, mengubah lorong sesuka hati tanpa isyarat, kerana bagi mereka, menekan lampu isyarat itu hanya membazir tenaga.
Pemandu mabuk yang paling bingai. Kalau dia seorang yang kemalangan tak apa lah. Ini habis orang lain yang jadi mangsa.
"Kau pernah bawak lori atau treler?" Soalan cepumas itu biasa ditanya oleh geng pilot darat bila netizen melepaskan geram kepada pemandu lori atau treler yang menyebabkan kemalangan maut.
Selalu beri alasan brek tak makan. Kalau kau pecut macam pelesit memanglah brek angin tak makan bila berlaku kecemasan. Tayar pun boleh tercabut.
Pemandu motosikal pula ada versi tersendiri. Ada yang memandu melawan arus dengan penuh keyakinan, seakan-akan mereka sedang membuktikan teori fizik baru tentang daya lawan graviti.
Ada yang tak mahu pakai topi keledar kerana kepala mereka kebal dan keras tak lut bila terseret atas jalan tar.
Dan jangan lupa ‘pejuang media sosial’ yang berasa kemalangan itu satu konten eksklusif.
Tak membantu mangsa, tak peduli laluan terhalang, yang penting dapat rakam video untuk ditayang di media sosial dengan kapsyen “Astaghfirullah, semoga semua selamat.”
Ironinya, tengah syok merakam, mereka mungkin pula menjadi punca kemalangan lain.
Hakikatnya, kemalangan jalan raya bukan disebabkan oleh nasib malang, tetapi kebodohan manusia yang berkeras untuk menguji takdir.
Sampai bila? Sampai mereka sendiri menjadi statistik yang terpampang di dada akhbar.
Tetapi tak mengapa, selagi masih ada pemandu yang lebih percaya pada kehebatan sendiri berbanding peraturan jalan raya, selagi itulah kemalangan akan terus berlaku.
Ulasan
Catat Ulasan